Tuesday, November 17, 2015

TUGASAN BLOG SVW502: DOGMA DALAM TASAWUR PEMBANGUNAN INSAN BERTERASKAN ISLAM


Tugasan Blog SVW502
DOGMA DALAM TASAWUR PEMBANGUNAN INSAN BERTERASKAN ISLAM
Amirah Abdullah[1]
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV)
Universiti Sains Malaysia
11800 Pulau Pinang
No Matrik: P-SM 0046/14



PENDAHULUAN


Dogma menurut Dewan Bahasa dan Pustaka edisi ke-4 dan Kamus Besar Bahasa Indonesia edisi ke-3 ialah kepercayaan atau sistem kepercayaaan (agama, dan lain-lain) yang dianggap benar dan seharusnya dapat diterima oleh orang ramai tanpa sebarang pertikaian. Menurut Hans Wehr’s Arabic-English Dictionary edisi ke-4, dogma juga merujuk kepada akidah. Akidah yang dimaksudkan ialah “article of faith, tenet, doctrine; dogma; creed, faith, belief; conviction; ideology.” Muhammad Syukri Salleh (2008 & 2013) menyatakan bahawa dogma adalah kepercayaan atau sistem kepercayaaan yang dianggap benar dan seharusnya dapat diterima oleh orang ramai tanpa sebarang pertikaian, khususnya dalam bidang agama. Dogma dalam Islam misalnya Rukun Iman dan Rukun Islam.


Tasawur dalam istilah lazim dikenali sebagai worldview. Ia berasal daripada perkataan Jerman iaitu weltanschauung. Perkataan weltanschauung ini dipelopori oleh Immanuel Kant yang memberi maksud simply the sense perception of the world[2] (Naugle, 2002: 59). Tasawur lazim atau worldview ini misalnya merujuk kepada gambaran hidup dalam bentuk kepercayaan keseluruhan prinsip hidup yang sudah sebati dalam orang-orang Barat itu sendiri (Muhammad Syukri Salleh, 2008: 135). Tasawur dari perspektif Islam pula berasal dari bahasa Arab iaitu sawwara yang memberi maksud gambaran terhadap sesuatu. Secara umumnya, tasawur Islam merupakan gambaran bentuk Islam yang hakiki, penjelasan yang komprehensif, holistik dan benar mengenai Islam (Haron Din, 1992; Mohd Kamal Hassan 1993; Ramli Awang, 1997; Muhammad Syukri Salleh, 2003 & 2008; Mohd Shukri Hanapi, 2012 & 2013; Fadzila Azni Ahmad, 2013 & 2015). Pembangunan insan berteraskan Islam pula merujuk kepada pembangunan seseorang manusia (Muslim) secara holistik dan praktis dari aspek pembangunan rohani, fizikal, mental dan emosi.

Pegangan dogma dalam tasawur pembangunan insan berteraskan Islam adalah berasaskan kepada akidah, ibadah dan akhlak.  Ia berpegang kepada elemen tasawur Islam iaitu Allah SWT sebagai Pencipta, manusia sebagai hamba dan khalifah Allah SWT, dan alam semesta sebgai makhluk. Terdapat beberapa pendapat mengenai perkara-perkara pokok atau asas dalam tasawur Islam. Antaranya pendapat yang dikemukakan oleh Mohd Shukri Hanapi (2012:56). Beliau memberi pandangan bahawa terdapat juga penulis-penulis lain yang mengemukakan tiga perkara pokok dalam tasawur Islam iaitu Allah SWT sebagai Pencipta, manusia sebagai hamba dan khalifah Allah SWT, dan alam semesta sebagai makhluk. Walau bagaimanapun, ia selari dengan tiga perkara asas atau elemen dalam tasawur Islam yang dikemukakan oleh beliau iaitu pegangan kepada akidah, ibadah dan akhlak. Malah ia selari dengan dogma dalam pembangunan insan berteraskan Islam.

Secara umumnya, dogma yang dimaksudkan ialah pegangan terhadap rukun iman dan rukun Islam. Rukun iman akan membentuk akidah seseorang, manakala rukun Islam akan membentuk ibadah, sekaligus kedua-duanya akan membentuk akhlak seseorang. Dogma Islam ini perlu dipegang secara qati’, tanpa keraguan mahupun tanpa soal.

Elemen-elemen asas atau acuan kepada pembangunan insan berteraskan Islam yang utamanya adalah tasawurnya sendiri. Tasawur pembangunan insan berteraskan Islam yang dibincangkan sebelum ini adalah tiga perkara pokok iaitu Allah SWT sebagai Pencipta, manusia sebagai hamba dan khalifah, serta alam semesta sebagai makhluk. Ia juga sekaligus merangkumi dan selari dengan pegangan akidah, ibadah dan akhlak. Namun begitu, kesemuanya adalah bertitik tolak kepada dogma tasawur pembangunan insan berteraskan Islam itu sendiri iaitu pegangan rukun iman dan rukun Islam. Inilah dogma Islam yang perlu ada dalam tasawur pembangunan insan berteraskan Islam.

DOGMA DALAM TASAWUR PEMBANGUNAN INSAN BERTERASKAN ISLAM

Dalam konteks tasawur pembangunan insan berteraskan Islam, dapat disimpulkan bahawa rukun iman dan rukun Islam adalah tiang, doktrin atau dogma yang perlu ada dalam Islam. Terdapat enam rukun Iman yang didasarkan dari ayat-ayat al-Qur’an dan hadis Jibril. Pertama, beriman kepada Allah SWT; kedua, beriman kepada Malaikat Allah SWT; ketiga, beriman kepada Rasul Allah SWT; keempat, beriman kepada kitab-kitab Allah SWT; kelima, beriman kepada hari akhirat dan keenam, beriman kepada qada’ dan qadar.[3]  Manakala terdapat lima rukun Islam yang disyariatkan ke atas orang Islam. Pertama, syahadat; kedua, mendirikan solat; ketiga, menunaikan zakat; keempat, menunaikan haji bagi yang mampu; dan kelima, berpuasa di bulan Ramadan. Rukun Iman dan rukun Islam dinyatakan sebagai dogma Islam yang perlu dipegang sebagaimana hadis Jibril tentang Islam, iman dan ihsan:

Umar bin Khatab RH berkata: Suatu ketika, kami (para sahabat) duduk dengan Rasullullah SAW. Tiba-tiba muncul kepada kami seorang lelaki mengenakan pakaian yang sangat putih dan rambutnya amat hitam. Tak terlihat padanya tanda-tanda bekas perjalanan, dan tiada seorang pun di antara kami yang mengenalnya. Ia segera duduk di hadapan Rasulullah SAW, lalu lututnya disandarkan kepada lutut Rasulullah SAWdan meletakkan kedua tangannya di atas kedua paha Rasulullah SAW, kemudia ia berkata: “Hai Muhammad! Beritahukan kepadaku tentang Islam.” Rasulullah SAW menjawab: “Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam menjawab,”Islam adalah, engkau bersaksi tidak ada yang berhak diibadahi dengan benar melainkan hanya Allah, dan sesungguhnya Muhammad adalah Rasul Allah; menegakkan solat; menunaikan zakat; berpuasa di bulan Ramadan, dan engkau menunaikan haji ke Baitullah, jika engkau telah mampu melakukannya,” lelaki itu berkata,”Engkau benar,” maka kami heran, ia yang bertanya ia pula yang membenarkannya. Kemudian ia bertanya lagi: “Beritahukan kepadaku tentang Iman”. Nabi menjawab,”Iman adalah, engkau beriman kepada Allah; malaikatNya; kitab-kitabNya; para RasulNya; hari Akhir, dan beriman kepada takdir Allah yang baik dan yang buruk,” ia berkata, “Engkau benar.” Dia bertanya lagi: “Beritahukan kepadaku tentang ihsan”. Nabi SAW menjawab,”Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatNya. Kalaupun engkau tidak melihatNya, sesungguhnya Dia melihatmu.” Lelaki itu berkata lagi : “Beritahukan kepadaku bilakah terjadi Kiamat?” Nabi menjawab,”Yang ditanya tidaklah lebih tahu daripada yang bertanya.” Dia pun bertanya lagi : “Beritahukan kepadaku tentang tanda-tandanya!” Nabi menjawab,”Jika seorang budak wanita telah melahirkan tuannya; jika engkau melihat orang yang bertelanjang kaki, tanpa memakai baju (miskin papa) serta pengembala kambing telah saling berlomba dalam mendirikan bangunan megah yang menjulang tinggi.” Kemudian lelaki tersebut segera pergi. Aku pun terdiam, sehingga Nabi bertanya kepadaku : “Wahai, Umar! Tahukah engkau, siapa yang bertanya tadi?” Aku menjawab,”Allah dan RasulNya lebih mengetahui,” Beliau bersabda, “Dia adalah Jibril yang mengajarkan kalian tentang agama kalian.” (Hadis Riwayat Muslim: No. 8)

Hadis Jibril di atas menekankan bahawa rukun iman dan rukun Islam amat penting dan merupakan paksi yang kuat dalam Islam. Ihsan pula perkara yang menyempurnakan rukun iman dan rukun Islam tersebut.

Rukun iman dan rukun Islam ini merupakan satu pegangan asas dan teras dalam Islam. Rukun Iman yang perlu dipegang itu adalah melalui pengakuan tasyhid dan penyaksian sepenuhnya di dalam hati seseorang. Rukun Islam merupakan praktis diri terhadap keyakinan dan keimanan terhadap Allah. Kemudian ia diikuti oleh perlaksanaan ibadah khusus yang praktikal, serta ibadah umum. Semua ini terkandung dalam setiap komponen ibadah, bertepatan dengan segala pengertian dan hikmah yang menzahirkan pengertian rukun iman dan rukun Islam (Sakinah Salleh, 2011:7). Konsep ihsan pula pada hakikatnya, pengiktirafan tertinggi kepada setiap hamba Allah SWT yang melakukan perkara-perkara fizikal atau lahiriah, spiritual atau rohaniah serta emosi. Perkara-perkara ini disandarkan hanya kepada Allah SWT (Sakinah Salleh, 2011; M. Nashiruddin, 2005).

Ringkasnya, rukun iman dan rukun Islam inilah yang akan membentuk kepada tasawur pembangunan insan melalui elemen akidah, ibadah dan akhlak seperti Rajah 1.
Gambar Rajah 1: Kedudukan Dogma dalam Tasawur Pembangunan Insan Berteraskan Islam

Gambar Rajah 1 menunjukkan bahawa tasawur pembangunan insan berteraskan Islam mempunyai tiga elemen penting iaitu akidah, ibadah dan akhlak, seperti yang telah dibincangkan sebelum ini. Tiga elemen ini boleh didapati melalui ilmu usuluddin, fiqh dan tasawuf. Setiap orang Islam perlu melaksanakan ketiga-tiga serangkai ilmu ini dalam kehidupan seharian.  Dari sudut ilmu usuluddin, perkara-perkara yang berkaitan dengan ilmu ini ialah rukun iman itu sendiri. Maka ilmu usuluddin menjadi asas dalam ajaran Islam yang akan membentuk akidah Tauhid seseorang. Manakala dari sudut ilmu fiqh, sama ada fiqh mu’amalat, al-usrah, munakahat, jinayat mahupun ibadat secara asasnya, ia merangkumi rukun Islam dan kesemua ilmu fiqh ini dikategorikan sebagai ibadah walaupun rukun Islam hanya ditekankan kepada lima perkara sahaja. Secara tidak langsung, asas akidah dan ibadah ini juga akan membentuk akhlak seseorang. Caranya ialah dengan beramal dengan rukun iman dan rukun Islam yang sepertimana yang dimenifestasikan oleh para ‘ulama’. Bahkan selari dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, tetaplah beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya dan kitab yang Allah SWT turunkan sebelumnya. Barangsiapa yang kafir kepada Allah SWT, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, dan hari Kemudian, maka sesungguhnya orang itu telah sesat sejauh-jauhnya”. (an-Nisa’, 4: 136)

Jelas bahawa jika akidah seseorang insan terpesong (sesat), maka pembangunan insan yang berteraskan Islam tidak dapat dilahirkan. Justeru, dogma Islam ini bukanlah sesuatu perkara yang perlu diendahkan dalam pembentukan tasawur pembangunan insan berteraskan Islam kerana ia melibatkan akidah seseorang amnya, keimanan dan ketaqwaan seseorang khususnya.

PENUTUP
 
Pembangunan insan berteraskan Islam merujuk usaha berencana dalam melahirkan hamba dan khalifah Allah SWT melalui pegangan akidah, perlaksanaan ibadah, serta peribadi akhlak yang mantap dan terpuji dalam menuju mardhatillah. Dogma Islam merupakan pegangan rukun iman dan rukun Islam. Dogma Islam ini yang akan membentuk tasawur pembangunan insan berteraskan Islam secara holistik dan praktis yang merangkumi pembangunan rohani, fizikal, mental dan emosi.


RUJUKAN
Fadzila Azni Ahmad (2013). Asas Perkaedahan Penyelidikan Pengurusan Insan berteraskan Islam. Kertas kerja yang dibentangkan di The 7th ISDEV International Islamic Development Management Conference (IDMAC 2013): Towards Islamic Research Methodology anjuran Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada 9-10 Disember 2013 di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Haron Din (1992). Tasawwur Islam. Shah Alam: Pustaka Hizbi.
M. Nashiruddin al-Albani (2005). Ringkasan Shahih Bukhari 1. Jakarta: GemaInsani Press.
Mohd Kamal Hassan (1993). “The Islamic World-View”, kertas kerja yang dibentangkan di Seminar on Islam and Its World-View: An American Perception anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia dan The Malaysian-American Commissionon Education Exchange di Hotel Pan Pacific Kuala Lumpur, 19 Ogos.
Mohd Shukri Hanapi (2012). “Pembentukan Tasawur dan Kesan terhadap Pembangunan Tradisi Keilmuan Islam”, dlm International Journal of Humanities and Social Science (Vol. 3/2).
Mohd Shukri Hanapi (2013). Tasawur Islam dan Pembangunan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Muhammad Syukri Salleh (2003). Tujuh Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editions Sdn. Bhd.
Muhammad Syukri Salleh (2008). “Kaedah Penyelidikan Berteraskan Islam: Keperluan, Kedudukan dan Hala Tuju”, Pemikir, Bil. 54, hlm. 133-164.
Muhammad Syukri Salleh (2015). Kedudukan Terkini Metodologi Penelitian Islami, kertas kerja yang dibentangkan di Konferensi Internasional Pembangunan Islami (KIPI 2), anjuran Fakulti Ilmu Sosial dan Ilmu Politik (FISIP), Universitas Jember dengan kerjasama Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, di Aula Fakulti Ilmu Sosial dan Ilmu Politik (FISIP), Universitas Jember, Jember, Indonesia, pada 8-10 September. 
Naugle, David K. (2002). Worldview: The History of the Concept. Cambridge, U.K: Wm. B. Eerdmans Publishing Co.
Ramli Awang (1997). Tasawwur Rabbani Menurut Al-Qur’an dan Al-Sunnah. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publication
Sakinah Salleh (2011). Islam, Iman, Ihsan: Formula Kejayaan Hakiki dan Abadi. Selangor: PTS MilleniaSdn. Bhd.





[1] Amirah Abdullah ialah calon ijazah Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, Malaysia.

[2] Perkara ini dihuraikan dengan lebih mendalam oleh Naugle (2002: 55-66). Untuk huraian terperinci berkenaan dengan definisi tasawur ini, lihat Mohd Shukri Hanapi (2013: 5-11).

[3] Sila rujuk ayat al-Quran (2:163), (21:19-20), (2:285), (4:136), (20:15) dan (33:38) untuk anjuran rujukan firman Allah SWT berkaitan setiap rukun iman yang telah ditetapkan dalam Islam.

No comments: